Suara Blogger (161)

Suara Blogger (161)

Gerak Siber (60)

Gerak Siber (60)

Laporan Akhbar

Laporan Akhbar
Utusan Melayu (Dari 8hb Jun 1907), Suara Perjuangan Melayu

Mengenai Kerajaan

Mengenai Kerajaan

Mengenai Parliamen

Mengenai Parliamen

Thursday, October 15, 2009

Ucapan Presiden UMNO di PAU 2009

Seawalnya saya ingin berkongsi Firman Allah SWT, dalam surah As-Saff ayat yang ke-4

‘Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu ‘bun-ya-nun-marsus’ yakni bangunan yang tersusun kukuh’.
Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya :

‘Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah , tetapi diatur dengan tersusun’
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredhaanNya jualah, dapat kita sekali lagi berhimpun pada pagi yang mulia ini.

Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni UMNO, parti kita semua.

Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah, kerana, di bawah bumbung UMNO, hadir dua mantan Presiden yang kita kasihi. Marilah kita sambut dan raikan YABhg. Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Seterusnya di
sini.

Wednesday, October 14, 2009

Ucapan Timbalan Presiden merasmikan persidangan sayap

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t.
kerana dengan limpah izin dan kurniaNya kita sekali lagi dapat berhimpun
di Dewan Merdeka pada malam ini untuk menyempurnakan Perasmian
Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri 2009.

Kalau tidak pohon berangan
Tidak puyuh ke Tasik Chini
Kalau tidak kerana perjuangan
Tidak kita berkumpul di sini.
2. Saya berdiri di sini di hadapan saudara dan saudari dengan perasaan bangga atas kemenangan besar UMNO dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua petugas UMNO dan Barisan Nasional yang telah berjuang bagi memastikan kemenangan kita.

Jiwa Baru UMNO

3. Pertemuan kita kali ini membawa pengertian besar bagi parti UMNO yang sedang menakhoda zaman. UMNO baru sahaja melalui perubahan besar dalam sejarah kepimpinannya. Untuk sekian kalinya kita menyaksikan kepimpinan baru pada semua peringkat – dari Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri. Tahniah saya ucapkan kepada barisan kepimpinan UMNO yang baru, khususnya kepimpinan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang berada di sini pada malam ini.

4. Apa yang menarik ialah YAB Presiden dan saya sendiri lahir dari madrasah pemuda UMNO. Ketiga-tiga Naib Presiden juga lahir daripada madrasah yang sama. Ketua Wanita lahir dari proses kematangan dan kepimpinan dalaman wanita. Demikianlah juga ketua pemuda dan ketua puteri lahir daripada tarbiah kepimpinan pemuda dan Puteri. Saya amat berbangga bahawa di hadapan saya pada malam ini adalah barisan kepimpinan masa depan UMNO yang akan mencorak nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanahair.

Baca seterusnya si
sini.

Monday, October 12, 2009

Isa menang

Majoriti Kaum India Mengundi BN Di Bagan Pinang, Kata MIC

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- MIC percaya majoriti pengundi dari kaum India di empat kawasan di Bagan Lalang kembali mengundi Barisan Nasional (BN) berdasarkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Ahad.

Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S.Subramaniam berkata berdasarkan tinjauan awal parti itu mendapati BN memenangi kesemua empat peti undi di kawasan DUN itu yang majoritinya pengundi India iaitu di Ladang Atherton, Pekan Siliau, Ladang Brandwall dan Sua Betong.

"Kami gembira dengan keputusan di empat kawasan peti undi di mana ia dikuasai oleh MIC sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata keputusan itu menunjukkan pengundi kaum India sudah kembali kepada BN.

Beliau turut menekan keperluan kesatuan dalam komuniti India untuk bersuara dengan satu suara.

Menteri itu juga berterima kasih kepada semua ketua bahagian dan cawangan MIC yang telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu.

Pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang semalam, calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mempertahankan kerusi berkenaan dengan mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.

Saturday, October 3, 2009

DUN Bagan Pinang: Persaingan satu lawan satu BN-PAS

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
mStar Online, Saturday October 3, 2009

PORT DICKSON: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kecil, Abdul Wahab Shamsuddin sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima dua borang setelah masa penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi tadi.

Pada pilihan raya kecil tersebut, BN diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Umno bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Thursday, September 10, 2009

Persediaan hadapi PRK Bagan Pinang

Mana-mana blog yang akan memberi liputan dan pengkhususan sepanjang PRK Bagan Pinang akan datang dijemput meletakkan url mereka di dalam komentar.

Penggabung Suara telah membuka kolum khas PRK Bagan Pinang bagi membantu pembaca mengikuti liputan dan pandangan sepanjang kempen. Buat masa ini, ada dua blog ia-itu Blog UMNO Bagan Pinang dan Blog 31 DUN Bagan Pinang.

Sekian, terima kasih.

Sunday, September 6, 2009

UMNO Teluk Kemang tentukan calon - Mohamad

PORT DICKSON 5 Sept. - Penentuan calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang adalah di bawah bidang kuasa UMNO Bahagian Teluk Kemang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Ketua UMNO bahagian itu, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad semalam.

"Saya telah berbincang dengan Tan Sri Mohd. Isa semalam. Berundinglah elok- elok di peringkat bahagian kemudian pilihlah dua tiga nama untuk dipilih sebagai calon sebelum dibawa kepada Presiden UMNO.

"Kita harap supaya calon yang akan terpilih adalah yang terbaik selain mendapat persetujuan dan sokongan. Kita tidak mahu calon yang terpilih disabotaj oleh jentera bahagian," katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bantuan Hari Raya dan Bantuan Tahunan Masjid Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya, Azman Mohd. Nor dari BN meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH) di sini pukul 2.30 petang semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN Bagan Pinang selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail (Pas) dengan majoriti 2,333 undi .

Parlimen Teluk Kemang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata, kesemua sayap jentera pilihan raya UMNO dan Barisan di peringkat bahagian telah digerakkan sejak semalam manakala pemantauan jentera akan dilakukan oleh peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.

"Kita juga akan menubuhkan jentera UMNO dan BN di peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri selepas notis pengosongan itu dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini," kata beliau.

Ditanya mengenai kemampuan dan keyakinan parti mempertahankan kerusi itu, Mohamad menjelaskan, UMNO dan BN akan berusaha sehabis baik bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih tinggi berbanding pada pilihan raya umum lalu.

"Daripada segi peluang, kita yakin BN akan mempertahankan kerusi di kawasan itu.

"Saya rasa majoritinya akan bertambah berbanding pilihan raya umum lalu. Sebab di sini tidak ada isu-isu setempat yang boleh dimainkan oleh pembangkang," jelasnya.

Friday, September 4, 2009

ADUN meninggal: Speaker akan maklum SPR

SEREMBAN 4 Sept. – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor berkata, beliau akan memaklumkan secepat mungkin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Razak yang mengesahkan kematian penyandang kerusi itu, Azman Mohd. Nor pada pukul 2.30 petang ini memberitahu, beliau hanya mendapat berita tersebut kira-kira pukul 3 petang ini.

“Saya akan memaklumkan kepada SPR secepat mungkin mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

“Saya perlu semak dengan Unit Protokol dulu (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri), kalau sempat saya maklum hari ini, jika tidak mungkin tunggu Isnin sebab esok dan Ahad cuti,” katanya.

Azman, 55, meninggal dunia kerana sakit jantung di Hospital Pakar Seremban di sini.

Antara yang menziarahi Allahyarham di hospital ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, Allahyarham Azman mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail (Pas) dengan majoriti 2,333 undi.

Parlimen Teluk Kemang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).

Satu lagi kerusi yang dimenangi BN dalam Parlimen Teluk Kemang DUN Linggi menerusi Datuk Ismail Taib.

Kerusi Parlimen Teluk Kemang pula dimenangi calon PKR, Datuk Kamarul Bahrin Abbas, mengalahkan calon BN, S. Sothianathan. - Utusan

Tuesday, June 30, 2009

Tuan Aziz Tuan Mat calon BN Manik Urai

Pengurus Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat calon BN Manik Urai

KUALA KRAI 28 Jun - Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Tuan Aziz Tuan Mat, 39, calon Barisan Nasional untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Manik Urai, umum Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin di Manik Urai, Kelantan hari ini.

— BERNAMA

Thursday, June 11, 2009

366 blog tersenarai di Penggabung Suara

Sedikit demi sedikit, sejak blog Aggregator ini dimulakan pada bulan Ogos tahun lepas, 366 blog tersenarai di sini.

Jumlah ini boleh dikembangkan lebih dari ini, tetapi kini ianya perlu berpilih-pilih kepada blog yang rajin dikemaskini dan berkualiti.

Banyak blog-blog baru telah muncup. Ada antaranya begitu giat tetapi belum berkualiti dari segi penulisan, isu kandung dan keefisyenan persembahan. Ini telah dikategorikan sebagai Blog Pengerak. Mereka ini perlu berperanan sebagai frontline untuk berinteraski dengan blog-blog lain aliran.

Selepas PRU12, UMNO mula melihat dengan lebih serius media baru ini dan banyak blog-blog cawangan, bahagian, sayak dan pemimpin-pemimpin muncul. Masaalahnya blog-blog berlogo dan imej UMNO ini adalah ianya tidak dikemaskini.

Harap dapat diperbaiki lagi blog ini supaya lebih cantik dan efiseyn gunapakainya.

Wednesday, March 25, 2009

Teks Ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak di Pembukaan Wanita, Pemuda dan Puteri

Ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008 oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.


Saudara-saudari sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

2. Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.
3. Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti Umno. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.

4. Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.

Saudara dan saudari,

5. Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac, 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

6. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju Umno telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama Umno kini menukar haluan mereka.

7. Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah Umno. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

8. Hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Saudara dan saudari,

9. Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:
Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang . Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa :
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

10. Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, makanya, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, akan tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan Umno.

11. Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan menakul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, Umno telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Umno telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila Umno mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.

12. Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan Umno. Umno juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi Umno sehinggalah kini.

Saudara dan saudari,

13. Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli Umno tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.

14. (Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970). Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara pro aktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan Felda serta membangunkan kawasan luar bandar.

15. (Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980). Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.

16. (Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990). Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?

17. (Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 – 2000). Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak Umno juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.

18. Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.

Saudara dan saudari,

19. Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Lanskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

20. Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

21. Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.

22. Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

23. Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

24. Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘ beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi ... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini.

Saudara dan saudari,

25. Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.

26. Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

27. Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?

28. Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno.

29. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.

30. Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Saudara dan saudari,

31. Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali.

32. Kepada Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

33. Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk membabitkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Saudara dan saudari,

34. Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

35. Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

36. Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik.

Saudara dan saudari,

37. Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan.

38. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

39. Tersenarai antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah.

40. Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.

41. Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan 'esprit de corps.'

43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

44. Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

46. Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

47. Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

Saudara dan saudari,

48. Umno menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif. Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?

49. Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan Umno meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi. Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Saudara dan saudari,

50. Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia adalah krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Makanya, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti. Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia adalah antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi satu trilion ringgit setahun.

51. Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global. Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Saudara dan saudari,

52. Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman. Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

53. Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Seyogia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”). Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

54. Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan. Ingatlah, Umno bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada Umno sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

55. Melayu dan Umno tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan Umno bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh. Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

56. Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain. Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan Bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

57. Kesimpulannya, untuk kekal lestari Umno mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Saudara dan saudari,

58. Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak Umno ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin Umno sepanjang lima tahun lalu. Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

59. Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

60. Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa. Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti tergaris dalam misi nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.

Saudara dan saudari,

61. Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayap-sayap Umno setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawadhuk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

62. Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Datuk Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi Allahyarham Tun Abdul Razak. Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya. Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti Umno membela untung nasib rakyat.

63. Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli Umno yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden Umno.

64. Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden Umno baru yang bakal dipilih kelak. Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

65. Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi. Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya Allah, laungan perjuangan Umno sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

66. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sunday, March 15, 2009

Ismail Saffian untuk Bukit Gantang; Ganesan di Bukit Selambau

Ismail Saffian untuk Parlimen Bukit Gantang:

Bukit Calon Anak Tempatan Ismail Saffian Wakil BN Tanding Bukit Gantang

TAIPING, 14 Mac (Bernama) -- Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman berkenaan pada majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di Taman Kota Jaya, Simpang, dekat sini hari ini.

Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.

Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.

Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.

Pada pemilihan bahagian tahun lepas, Ismail tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Feb lepas. Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Pada pilihan raya umum lepas, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M.Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dan pada pilihan raya umum lepas BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.
Datuk S. Ganesan untuk DUN Bukit Selambau:

S. Ganesan Taruhan BN Bagi Bukit Selambau

SUNGAI PETANI, 14 Mac (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Kedah Datuk S. Ganesan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

Pemilihan Ganesan, yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, beberapa jam selepas beliau mengumumkan Ismail Saffian sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Kerusi Bukit Selambau kosong selepas peletakan jawatan oleh penyandangnya V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal bulan lepas.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Batang Ai di Sarawak.

Friday, March 13, 2009

Joseph Kurup kekal MP Pensiangan

Malaysiakini.com, Mar 13, 09 10:35am

Tan Sri Joseph Kurup kekal sebagai ahli Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya September lalu mengisytiharkan keputusan pilihanraya bagi kerusi tersebut batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup - timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah - yang juga timbalan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.

Beliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari tahun lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).

Mahkamah Persekutuan, yang membenarkan rayuan Kurup terhadap pembatalan kemenangannya itu, menetapkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding dalam pilihanraya bertanggungjawab terhadap kertas pencalonan masing-masing dan seharusnya patuh kepada tempoh masanya.

Oleh itu, lapor Bernama, bukan menjadi tanggungjawab pegawai pengurus pilihanraya terhadap kertas pencalonan calon, kata Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman yang membacakan keputusan yang dibuat oleh panel tiga hakim itu.

Panel hakim

Hakim itu berkata dalam kes ini, pegawai pengurus pilihanraya berkenaan telah melaksanakan tugasnya dengan baik mengikut undang-undang.

Dalam satu kes lain, mahkamah persekutuan menolak rayuan seorang pengundi bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya yang mengetepikan petisyennya mencabar kemenangan calon Barisan Nasional Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Api Api juga dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu.

Dr Yee, yang merupakan Menteri Pembangunan Sumber Sabah dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Christina Liew, dengan kelebihan 174 undi.

Petisyen itu difailkan oleh Audrey Karen Barry yang mendakwa wujud unsur rasuah atau ugutan am oleh Dr Yee atau ejen-ejen beliau, termasuk mencetak dan menyebarkan risalah mengandungi kenyataan palsu dan hasutan.

Pada 12 Februari lalu, panel Mahkamah Persekutuan terdiri Nik Hashim, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Arifin Zakaria, mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan menangguhkan sehingga hari ini untuk mengumumkan keputusan.

Kurup lega

"Saya rasa amat lega. Selepas Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan saya sebagai ahli Parlimen Pensiangan, saya tidak dapat melakukan sebarang tanggungjawab sebagai ahli Parlimen," kata Kurup.

"Tetapi saya amat berterima kasih kerana kedaulatan undang-undang telahpun dilaksanakan dan saya diberi peluang untuk membuat rayuan," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Kurup berkata, beliau kini boleh memberi tumpuan membantu penduduk Pensiangan di mana kadar kemiskinan adalah tertinggi di Sabah.

Kurup juga percaya calon BN akan memenangi pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai di Sarawak pada 7 April ini berikutan kemenangannya dalam rayuan tersebut.

Sementara itu, calon PKR Danny Anthony Andipai, yang memfailkan petisyen pilihanraya itu terhadap Kurup, berpendapat penghakiman Mahkamah Persekutuan tidak memberi keadilan kepadanya.

"Kami akan jumpa lagi pada pilihan raya umum akan datang. Saya akan cabar beliau (Kurup)," katanya.

Kurup memenangi kerusi itu pada hari penamaan calon selepas pengurus pilihanraya menolak kertas pencalonan Danny dan seorang lagi calon.

Andipai kemudian mengemukakan petisyen bagi membatalkan keputusan itu dengan menamakan Kurup dan pengurus pilihan raya berkenaan, Bubudan OT Majalu, sebagai responden.

Wednesday, March 11, 2009

Mahkamah Persekutuan buat keputusan mengenai kerusi Pensiangan Jumaat Mac 13hb

Bernama, 11 Mac, 2009

Semua Akan Tertumpu Pada Jumaat Ini, 13 Mac

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 11 Mac - Adakah ada lagi satu pilihan raya kecil selepas Bukit Gantang, Perak, Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai, Sarawak yang dijadual berlangsung serentak pada 7 April?

Ini nampaknya persoalan yang diajukan oleh penganalisis politik dan anggota parti politik semasa menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat ini mengenai rayuan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding untuk kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, sebagai batal dan tidak sah.

Kurup, telah memfailkan rayuan itu pada 17 Sept, 2008.

Mahkamah Persekutan sepatutnya memberikan keputusannya pada 12 Feb tetapi telah menangguhkan penghakiman sehingga Jumaat ini setelah mendengar hujah-hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi dan peguam-peguam untuk Kurup dan Danny Anthony Andipai bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya sendiri akan berada di sana untuk mendengar keputusan. Saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Apa sahaja keputusan, saya bersedia.

"Walaupun jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, saya bersedia untuknya sejak Julai tahun lepas, saya telah buat segala persediaan," kata Kurup memberitahu Bernama di sini, Rabu.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan raya, satu lagi pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan.

Beberapa penganalisis politik berkata bahawa jika ini berlaku, senario ini sama seperti sebuah "mini pilihan raya nasional" kerana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia pilihan raya kecil diadakan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, isu lain masih menunggu yang mungkin menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil ialah taraf anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan di Selangor, Elizabeth Wong.

Wong, 37, diminta bercuti selepas beliau menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai anggota EXCO Selangor dan ADUN Bukit Lanjan berikutan isu gambar kontroversinya yang disiarkan di Internet bulan lepas.

Polis masih menyiasat kes ini.

Wong juga memohon untuk bercuti daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 bagi penggal kedua yang bermula semalam.

Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 17 Feb.

Status beliau masih belum jelas dan pemimpin parti PKR apabila dihubungi hanya boleh mengatakan bahawa beliau sedang bercuti dan enggan mengulas lanjut.

"Beliau masih bercuti. Jangan mentafsirkan yang bukan-bukan. Ia hanya satu bahasa yang mudah, bahawa beliau sedang bercuti sehingga diberitahu kelak," kata naib presiden PKR Azmin Ali ketika dihubungi.

Sama ada ini merupakan "mini pilihan raya nasional" akan berlaku atau tidak, akan dilihat, tetapi satu perkara yang pasti -- senario politik di negera ini menjadi lebih menarik.

Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth Wong letak jawatan, Bakal PRK DUN Bukit Lanjan

Malaysiakini, Feb 17, 09 9:00am

Foto bogel: Elizabeth tawar letak jawatan exco, Adun

Abdul Rahim Sabry

Exco Negeri Selangor, Elizabeth Wong pagi ini menawar diri untuk meletakkan jawatan exco dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Bukit Lanjan, ekoran penyebaran foto bogelnya kepada umum.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang akhbar yang bermula jam 11.40 pagi di di ibupejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.

Kira-kira 30 penyokongnya turut hadir di sidang akhbar tersebut dengan membawa kain rentang menyokong Elizabeth.

Mereka juga melaung meminta Elizabeth supaya jangan meletakkan jawatan.

Turut hadir ialah ketua Wanita PKR yang juga ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, exco negeri, Teresa Kok dan Xavier Jayakumar, serta naib presiden PKR, R Sivarasa.

Kelmarin, Elizabeth membuat aduan polis berhubung penyebaran foto-foto bogelnya kepada umum itu. Selain foto, difahamkan satu klip video juga turut disebarkan.

Beliau juga merupakan Adun PKR di Bukit Lanjan dan exco pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar sejak 11 bulan lalu.

Difahamkan foto-foto itu dirakam tanpa kebenarannya - kemungkinan oleh seorang bekas teman lelakinya - sewaktu beliau sedang tidur.

Sementara itu, Elizabeth memberitahu sidang akhbar tersebut bahawa beliau menawar diri untuk meletak kedua-dua jawatan tersebut demi kepentingan parti.

Bagaimanapun, Elizabeth menekankan bahawa beliau mendapat sokongan daripada keluarganya, penyokong, pengundi dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengaturkan urusan penyerahan tugas-tugas saya. Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan," katanya.

Elizabeth menegaskan bahawa beliau tidak melakukan sebarang dan "setiap orang mempunyai hak kesalaan dan saya mempunyai hak privasi".

Teresa dan Xavier kemudiannya menggesa Elizabeth supaya menimbang semula keputusannya itu.

Ketika ditemui kemudiannya, Xavier yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR menafikan terdapat 'sebarang tekanan dalam parti' terhadap Elizabeth supaya meletak jawatan.

Manakala penyelaras media PKR, Genie Lim berkata, surat peletakan jawatan Elizabeth telah dihantar ke pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi ini.

Sementara itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kini terpulang kepada menteri besar dan pihak partinya untuk membuat keputusan muktamad.

Menurut sumber-sumber, pemimpin tinggi PKR yang bertemu malam tadi , memutuskan untuk mengakhiri kontroversi tersebut sebelum menjelang pilihanraya di Perak dan Kedah.


Dalam pilihanraya umum lalu, Elizabeth menang dengan memperolehi 12,125 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Gerakan, Yong Dai Ying, yang mendapat 6,970 undi.

Elizabeth menang dengan majoriti 5,155 undi.

Menurut sumber-sumber, jika berlaku kekosongan, antara calon PKR yang disebut-sebut mungkin bertanding di kerusi tersebut ialah bekas pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang juga bekas timbalan menteri, Dr Tan Kee Kwong.

Kee Kwong, yang pernah menjadi ahli Parimen Segambut, menyertai PKR Ogos tahun lalu.

Satu lagi calon yang disebut-sebut ialah bekas ketua wanita MCA Klang dan bekas ahli Parlimen Klang, Dr Tan Yee Kew, yang menyertai PKR tahun lalu.

Sementara itu, Adun Kajang, Lee Kim Sin dari PKR disebut-sebut akan dilantik mengisi jawatan exco yang dikosongkan oleh Elizabeth.

Difahamkan, turut dipertimbangkan untuk mengisi jawatan tersebut ialah Adun Rawang, Gan Pei Nee.

Friday, February 13, 2009

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau

Jimadie Shah Othman
Malaysiakini.com Feb 13, 09 11:53am

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.

Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung.

Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

P'raya kecil pertama Najib

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.


"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam-macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".

Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.

Daftar pemilih

Abdul Aziz juga memberitahu, daftar pemilih untuk kedua-dua kawasan ditentukan berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2007 dan digabungkan dengan daftar tambahan pada suku pertama, suku kedua dan suku ketiga 2008.

Katanya, daftar tersebut akan mula dijual mulai 21 Februari bagi senarai tanpa saluran dan pada 21 Februari bagi senarai dengan saluran.


Terdapat 55,562 pemilih berdaftar di Bukit Gantang dengan 55,426 pemilih biasa dan 136 pemilih pos.

Di Bukit Selambau pula seramai 35,140 layak mengundi. Seramai 35,125 merupakan pemilih biasa, manakala 15 lagi pemilih pos.

Sebanyak 32 pusat mengundi akan dibuka di Bukit Gantang manakala sebanyak 22 lagi akan dibuka di Bukit Selambau.

Abdul Aziz juga berkata, Pemantau Bagi Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) diberikan kebenaran menjadi pemerhati.

Tarikh tidak jejas pengundi

Ditanya kenapa SPR tidak memilih hari hujung minggu sebagai tarikh pengundian, seperti amalan biasa, Abdul Aziz berkata, ia dibuat berdasarkan tempoh 60 hari yang diperuntukan kepada mereka.

Katanya, ketetapan tarikh itu juga tidak akan menjejaskan jumlah pengundi yang akan turun menunaikan tanggungjawab.

"Kalau hendak mengundi, dia akan ambil cuti dan balik kampung. Sekolah-sekolah yang jadi tempat mengundi akan bercutilah," katanya.

Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.

Sunday, February 8, 2009

Karpal demands that Anwar Ibrahim step down as PR leader

Rants against his DAP bosses for dodgy party hopping stance

By Sharanjit Singh & Lee Keng Fatt
New Straits Times, February 8th, 2009

4:44pm: In an amazing outburst, DAP national chairman Karpal Singh criticised today PKR chief Datuk Seri Anwar Ibrahim, his DAP boss Lim Kit Siang and even Penang Chief Minister Lim Guan Eng for what he deemed as their "inconsistent stand" on party hopping. In a Press conference at his Penang law firm, Karpal claimed that their stance had caused the whole Pakatan Rakyat to be in disarray. Karpal also accused Anwar of being unfit to lead Pakatan Rakyat and demanded that the PKR supremo step down. Karpal expressed his disappointment with the stand taken by Anwar and DAP leaders on party hopping, claiming that their inconsistency had caused the whole alliance in Pakatan Rakyat to be in disarray.

The MP for Bukit Gelugor called on the DAP to seriously reconsider its membership in Pakatan Rakyat to show the party does not condone dishonesty of any kind, in particular treachery to the people through crossovers.

Calling on Anwar to repent, Karpal said the former deputy prime minister had created enough trouble for the country.

"I wonder if he is fit to be the leader of Pakatan Rakyat. In fact I think Pakatan Rakyat requires another leader, a good leader. Not someone who believes in immorality, even accepting crossovers," he said at a press conference in his law firm here today.

Karpal expressed regret that some Pakatan Rakyat members and even the DAP had fallen into the temptation of supporting crossovers.

"Some of them have not even said a word all this while and I regret that I did not get support from even my own party leaders (on the crossover issue). Kit Siang and Guan Eng should support me instead of making statements supporting Anwar Ibrahim. I am the chairman of DAP and let me make it clear to the party leaders that I have the support of the rank and file," he said.

Karpal then went on to issue a warning to his party leaders not to push him to far. "I have been patient all this while. Don't let matters come to a head in the interest of Pakatan Rakyat and also DAP. In fact, I have even proposed that DAP leave Pakatan Rakyat on the issue of hudud law but no one supported me. Neither Kit Siang or Guan Eng. It is a shame and they should also bertaubat (repent)."

Asked if he would call for an emergency party meeting to discuss DAP future in the alliance, Karpal said he was already contemplating doing so. "I have been silent for too long. I cannot fight the cause of the DAP alone although I have been trying. What I am saying and am defending is nothing but the truth."

More
here.

Saturday, February 7, 2009

Karpal Singh: PR Beri Amaran Tindakan Undang-undang Terhadap Sultan Perak, BN

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) jika masih berkeras untuk melantik Menteri Besar BN yang baru, dijadualkan pada 3 petang hari ini di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, kata Pengerusi DAP Karpal Singh.

Beliau berkata PR tidak mempunyai pilihan bagi mengambil tindakan itu kerana pelucutan jawatan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin oleh Sultan Azlan Shah, yang dikatakan mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri, adalah jelas di luar batas kuasa dalam peruntukan artikel itu.

"Dalam undang-undang, keputusan Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang. Saya meminta Sultan menghentikan dan berhenti daripada melantik seorang MB BN baru dan ahli majlis mesyuarat selepas tengah hari ini, katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal Singh berkata tindakan ini tidak boleh, dalam apa jua cara, dilihat sebagai ancaman kepada sultan tetapi merupakan peringatan tegas bahawa pemerintah diperlukan untuk bertindak di dalam lingkungan had dan batas perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang merupakan undang-undang tertinggi di negeri itu.


---------------------------

Utusan Malaysia, Feb 7hb, 2009

Sidang akhbar Karpal Singh

BERIKUT adalah sebahagian kandungan sidang akhbar Pengerusi DAP, Karpal Singh di Kuala Lumpur semalam.

Dari segi undang- undang dan Perlembagaan negeri Perak, adalah terus terang apa yang diisytiharkan oleh Sultan Perak iaitu kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak sah, bertentangan dengan peruntukan Perkara 16(6) Perlembagaan Perak.

Apa yang dibuat tidak boleh dipertahankan. Apabila ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menandatangani satu surat letak jawatan, adakah itu sah? Adalah untuk Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) membuat keputusan.

Tidak ada pihak lain yang ada kuasa untuk berbuat demikian, termasuk Sultan Perak.

Ada satu langkah lain yang boleh digunakan iaitu rombakan Perkara 64 Perlembagaan Negeri Perak.

Sultan Perak ada kuasa untuk rujuk satu soalan mengenai peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Perak dari segi apa keadaan di negeri itu.

Ini untuk menentukan siapa yang ada kuasa. Kuasa di dalam tangan DUN untuk mengisytiharkan adakah tiga ADUN ini tidak meletak jawatan atau sudah meletak jawatan. Bukan (kuasa) Sultan Perak untuk memanggil 32 ADUN ke istana dan menyoal adakah dia masih ahli DUN bagi Parti Keadilan Rakyat atau DAP.

Itu bukan kuasa Sultan Perak. Itu kuasa kerajaan negeri yang sah. Kerajaan negeri yang akan diisytiharkan pada 3.30 petang ini tidak sah.

Jika itu dibuat kami akan merujuk perkara ini ke Mahkamah Tinggi di Ipoh pada Selasa depan.

Satu kes akan difailkan. Dengan kes itu Sultan Perak akan jadi penentang atau responden, akan dinamakan sebagai defendan pertama.

Dan kerajaan negeri baru yang akan diisytiharkan pada 3.30 petang ini sebagai defendan yang kedua.

Dan plaintif adalah Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin. Dia akan memfailkan kes itu sebagai Menteri Besar yang sah - untuk mendapat satu pengisytiharan daripada mahkamah bagi memutuskan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah.

Dan bukan Menteri Besar dan Exco yang akan bersumpah pada 3.30 petang ini.

Friday, February 6, 2009

Kenyataan media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

SULTAN Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong di Istana Kinta, Ipoh, semalam berikutan tindakannya keluar daripada DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. – BERNAMA

BERIKUT ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.
“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.”

Friday, January 30, 2009

Badan Disiplin diperbesar

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk membesarkan Lembaga Disiplin parti itu bagi menangani gejala politik wang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang berlarutan lebih tiga jam malam ini berkata, pembesaran lembaga itu akan melibatkan penambahan anggota.

‘‘Ini supaya kes yang dilaporkan dapat diberi perhatian dan diperkembangkan serta keputusan mengenainya akan dapat dibuat dengan secepat mungkin,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa politik wang adalah tidak baik dan perlu dielakkan.

Mengenai laporan post mortem Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, ia masih perlu diperincikan lebih lanjut lagi oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO.

Katanya, MT malam ini turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera parti di seluruh negara yang membantu sewaktu pilihan raya tersebut.

‘‘Laporan itu tebal juga, nanti kemudian kita akan bagi tahu. Laporan post mortem mengenainya akan diperhalusi oleh Jawatankuasa Pengurusan,” jelasnya.

Mengenai dengan program pemukiman UMNO tidak lama dahulu, Abdullah berkata, banyak pandangan yang dibincangkan akan diputuskan pelaksanaannya dalam tempoh dua bulan menjelang perhimpunan agung UMNO.

‘‘Banyak perkara sebenarnya. Jadi elok bila bermula sekarang, semua itu akan berjalan dengan lebih cepat

‘‘Masa dulu ada bincang pengundian, kuota dan pendekatan yang baik. Kajian itu perlu diperhalusi dan boleh dilaksanakan dengan cepat selepas pemilihan,” katanya.

Sunday, January 25, 2009

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina

Buat pengguna-pengguna agregat blog, rakyat Malaysia amnya, dan kaum Tionghua khususnya, Nasionalis mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.
Muga cuti perayaan ini digunakan peluang untuk merapatkan lagi hubungan sesama keluarga dan rakan dan juga meningkatkan perhubungan dengan jiran dan rakan dari berlainan kaum dan bangsa.

Disamping itu, berhati-hati di jalanraya.

Sunday, January 18, 2009

Wan Ahmad Farid Hormati Keputusan Rakyat

17 Januari, 2009

KUALA TERENGGANU, 17 Jan (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menghormati keputusan pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu yang memilih Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS sebagai wakil rakyat mereka.

Biarpun "tersingkir" apabila tidak mendapat undi yang mencukupi untuk mewakili mereka ke Dewan Rakyat, beliau berterima kasih kepada rakyat yang memberikan sokongan kepada BN dalam pilihan raya kecil kerusi itu, katanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu kali ini.

"Walaupun tidak cukup untuk memenangi pilihan raya kali ini, namun dalam masa yang sama saya akan berusaha untuk memastikan pengundi yang tidak mengundi BN kali ini akan mengundi BN pada masa akan datang," katanya kepada pemberita berhubung kekalahannya dalam pilihan raya kecil itu.

Wan Ahmad Farid yang kelihatan tenang turut mengucapkan terima kasih kepada jentera parti sama ada dari luar mahupun dari dalam yang telah berusaha keras membantu beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Abdul Wahid yang berjaya memenangi pilihan raya itu.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata BN negeri menerima kekalahan itu dengan hati yang terbuka dan akan meneruskan perjuangan untuk memberikan khidmat yang baik kepada rakyat.

Monday, January 12, 2009

Abdullah Usul PBB Tubuh Tribunal Jenayah Antarabangsa

Bernama.com, 12 Januari, 2009

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengusulkan kepada Dewan Rakyat supaya Malaysia menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan dengan serta-merta satu tribunal jenayah antarabangsa untuk Palestin bagi menyiasat dan mendakwa penjenayah perang Israel yang disyaki terlibat dengan kekejaman dan keganasan ke atas Palestin.

Perdana Menteri yang mengusulkan perkara itu dalam Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza juga mengusulkan kepada dewan mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua dewan perundangan dan parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Ketika berucap mencadangkan usul-usul ini mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) di Dewan Rakyat di bawah "Mengecam Serangan Rejim Zionis Israel ke atas Wilayah Gaza", Abdullah berkata pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda tanpa sebarang timbang rasa yang sedang dilakukan oleh Israel di wilayah Gaza perlu dikecam dan dikutuk oleh seluruh dunia kerana ia melibatkan isu pencabulan undang-undang antarabangsa.

"Bahawa serangan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusian antarabangsa, piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Perlindungan Orang-orang Awam dalam Masa Perang," katanya.

Baca seterusnya di
sini

Thursday, January 8, 2009

Tentang Zionis Israel, Lumpuhkan Ekonomi Amerika

Tiada cara lain dari melumpuhkan ekonomi Amerika yang merupakan penyokongkuat israel.

Selagi Amerika masih terus memberi sokongan, selagi itu Israel akan terus berdalih-dalih, melanggar segala perjanjian, dan terus mengambil tanah, wilayah dan melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin dibumi mereka.

Usah lagi kita termakan cakap mereka. Lumpuhkan ekonomi Amerika. Boikot barangan mereka, terutama syarikat dan jenama berikut yang merupakan penyokong kewangan Israel:


Mereka hanya akan berhenti jika kewangan mereka terjejas.

Monday, January 5, 2009

Kempen menentang pengswastaan IJN

Menyambut panggilan pemblog tersohor, Rocky Bru yang mengusahakan inisiatif menentang pengswastaan Institut Jantung Negara (IJN), Nasionalis sebagai pengusaha blog aggregat Penggabung Suara turut memberi sokongan.

Logo di atas akan diletakkan di sidebar blog ini hingga kerajaan memberi keputusan pasti dan jelas menjamin tidak akan mengswastakan IJN.

Kami mengajak rakan-rakan blog aliran Nasionalis, parti UMNO dan juga rakan-rakan pembangkang yang menggunakan aggregat ini untuk melayari blog turut sama meletakkan logo tersebut.

Terima kasih.
Nasionalis

Thursday, January 1, 2009

Ucapan Tahun Baru

Nasionalis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun Baru Masehi 2009.

Semuga tahun baru ini menjanjikan peningkatan dan kemajuan buat anda. Muga dikurniakan kesihatan, keamanan fikiran dan jiwa, dan dikurniakan rezeki yang murah serta halal untuk anda dan keluarga.

Saya mendoakan anda semua dikurniakan kekuatan dan semangat yang kental untuk menghadapi tahun baru yang lebih mencabar dan untuk terus istiqamah dalam perjuangan untuk mempertahankan dan mempertingkatkan kemajuan agama, bangsa dan tanahair.

Sekian terima kasih.
Nasionalis